Apabila memperkatakan berkenaan kebudayaan, maka perkara yang biasanya akan timbul dalam pemikiran bahawa budaya itu adalah segala perkara yang berkaitan dengan segala bentuk kegiatan seni, sama ada seni lukis, seni muzik ataupun seni tarian dan sebagainya. Namun sebenarnya maksud budaya adalah lebih daripada itu. Budaya sebenarnya adalah cara hidup sesuatu masyarakat serta kemajuan keseluruhan cara hidup manusia yang melibatkan akal, akhlak dan daya usaha mereka. Jadi secara tidak langsung, budaya itu mencerminkan taraf pencapaian serta perilaku kehidupan sesebuah masyarakat. Ia meliputi beberapa perkara penting seperti peningkatan ilmu, cara berfikir, cara bertindak dan juga cara mengurus serta mentadbir kehidupan seharian.
Budaya ilmu menurut tafsiran Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud ialah “kewujudan suatu keadaan setiap lapisan masyarakat melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan pada setiap kesempatan dan keadaan dimana segala tindakan manusia baik pada tahap individu atau masyarakat, ditentukan dan diputuskan serta dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan.”
Takrifan tersebut jelas menerangkan bahawa budaya ilmu adalah penglibatan yang secara menyeluruh secara langsung atau tidak langsung untuk menjadikan ilmu sebagai terasnya dalam diri individu ataupun masyarakat. Namun keadaan yang dilihat sekarang ilmu hanya menjadi alat kerana terasnya adalah material dan kemewahan dalam kehidupan. Disebabkan itu, pengetahuan yang ada bukanlah untuk menjadikan ilmu sebagai teras tetapi untuk memenuhi kepentingan diri semata-mata.
Segala perkara yang dilakukan atas dasar dan teras keilmuan merupakan budaya ilmu. Kecintaan kepada ilmu dengan sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti keilmuan secara langsung atau tidak langsung membentuk budaya yang cemerlang. Budaya membaca, penulisan, penerbitan, pengkajian, diskusi ilmiah adalah diantara komponen yang penting dalam pembudayaan ilmu.
Mahasiswa pendidikan merupakan bakal guru yang akan memimpin generasi masa hadapan. Seorang guru perlu melengkapi dirinya dengan ilmu yang secukupnya untuk membentuk generasi akan datang. Kehidupan berbudaya ilmu sepatutnya menjadi salah satu cara hidup yang wajib wujud dalam diri seorang guru. Guru bukan hanya mengajar ilmu akademik semata-mata tetapi mengajar ilmu kehidupan yang sebenarnya seperti akhlak, pembentukan peribadi yang baik, kaitan dengan agama dan sebagainya supaya pendidikan yang holistic dapat diwujudkan selari dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Falsafah pendidikan Negara menyatakan " Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. "
mohd nur al sufi bin romele
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment