Sirah Rasulullah merupakan sejarah kehidupan Rasulullah yang banyak dinukilkan oleh para ulama dengan belbagai bentuk penceritaan . Ada sesetengah kitab menghuraikan sirah dari sudut sejarah dan berfakta seperti kitab ar-raheeq al- makhtum dan Rasul Ulul Azmi Nabi Muhammad saw, ada yang menghuraikan mengikut ijtihad politik dan perjuangan seperti fiqh harakah dan fiqh sirah, ada yang menghuraikan dari sudut teladan pedoman umum dan pelbagai lagi.Disebabkan itulah, bagi saya pembacaan dan analisis buku-buku sirah perlu diperluaskan lagi disebabkan sirah merupakan salah satu tunjang didalam Islam. Nubuwah merupakan salah satu cabang dalam usul akidah. Oleh itu, wajib atas setiap umat islam mengenali kisah hidup dan perjuangan serta mencintai Rasulullah. Tidak dilupakan seharusnya pembacaan buku sirah perlu ditalaqi bersama-sama ustaz yang ‘ahli’nya supaya kefahaman berkenaan sirah tidak dipengaruhi oleh firqah-firqah yang bukan daripada Ahli sunnah wal Jamaah seperti Syiah.
Baru-baru ini saya sudah menghabiskan satu lagi kitab sirah yang agak hebat dan menarik iaitu buku Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi yang bertajuk As-Sirah An-Nabawiyah. Beliau menghuraikan sirah melalui kaca mata al-quran dan menyentuh juga berkenaan isu-isu kontroversi berkenaan sirah nabawiyah. Buku ini merupakan himpunan artikel, kuliah, ceramah dan dialog umum oleh Syeikh Muhammad. Buku ini boleh dikatakan hasil suatu usaha dan proses yang amat rumit melalui penlitian, pengkajian dan dokumentasi.
Jika saya hendak mendiskusikan semua isi yang ada dalam buku yang setebal 570 muka surat ini, nescaya saya akan menulis satu lagi buku yang baru. Jadi saya akan huraikan pembacaan saya secara umum dan mengambil perhatian kepada isi-isi penting yang perlu dikongsikan bersama. Saya akan diskusi lebih kepada pengajaran yang dibentangkan dalam buku ini. Oleh itu, keterangan berbentuk fakta akan saya kurangkan, kerana fakta berkenaan sirah ini kebanyakan boleh dibaca daripada pelbagai buku sirah yang ada di pasaran.
Antara perkara utama yang dibincangkan dalam buku ini adalah berkenaan kelahiran rasulullah. Segala perkara berkenaan rasulullah telah disebut lama di dalam kitab kitab sebelum ini seperti kitab injil dan taurat walaupun sebahagian besar dalam kitab tersebut telah diselewangkan. Keadaan masyarakat jahiliyah sebelum kelahiran rasulullah amat teruk dan menjijikan. Namun ALLAH memilih Mekah sebagai tempat yang terbaik untuk dilahirkan padanya seorang Rasul yang memberi rahmat di sekelian alam. Ulama banyak membahaskan berkenaan sebab-sebab rasulullah dilahirkan dimekah dengan penuh ilmiah dan berdasrkan dalil aqli serta naqli antaranya pemikiran masyarakat mekah tidak dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran falsafah dan ketuhanan yang memeningkan seperti ketamadunan yunani .
Semasa kelahiran rasulullah juga terdapat pelbagai peristiwa yang amat mengagumkan den pelik pada pemikiran manusia seperti terpadamnya api parsi yang tidak pernah padam beratus tahun dan dan pelbagai lagi. Namun untuk menceritakan berkenaan kisah dan peristiwa kelahiran Rasulullah saya lebih suka untuk merujuk kepada kitab barzanji yang menceritakan secara teliti dan menyeluruh. Kitab tersebut amat baik dipelajari oleh setiap muslim secara bertalaqi.
Saya rasa cukup dulu diskusi untuk kali ini. Mungkin diskusi ini masih banyak yang boleh dibahaskan dan ditampung oleh semua. Jadi saya harap dibahagian komen pembaca sekalian boleh menambah isi dan memantapkan lagi perbincangan kita. Nanti dibahagian lain saya akan menambahnya kemudian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment