Wednesday, October 22, 2008

etika pengurusan -ep 4

Isu-Isu Dalam Etika Penngurusan

Etika dalam Pengurusan Politik

Menurut Paul Ricoeur (1990), etika politk adalah mengarahkan kepada hidup yang lebih baik bersama dan untuk orang lain, rangka memperluas lingkup kebebasan dan membangun institusi yang adil. Menurut definisi ini, hidup baik bersama dan untuk orang lain tidak mungkin wujud kecuali menerima pluraliti dan dalam kerangka institusi yang adil. Hidup yang baik adalah cita-cita kebebasan dan institusi yang adil mewujudkan kebebasan engan menghindarkan warganegara atau kelompok-kelompok dari saling merugikan. Etika politik tidak melibatkan golongan individu sahaja tetapi berkaitan dengan tindakan etika sosial.

Menurut Aristotle, politik haruslah mempunyai etika sebagai penghantarnya. Seseorang ahli politik tidak harus menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan individu dan sesuatu kelompok. Sebaliknya berkorban untuk negara dan masyarakat adalah lebih bererti dan mulia. Ini bermaksud, ahli politik mestilah mempunyai garis panduan dan peraturan yang boleh menghindarkan dari menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Penentangan terhadap moral dan etika menjadikan negara lemah dan mundur kerana pemimpin mengamalkan perkara yang mementingkan diri sendiri dan bukannya rakyat dan negara.

Kes 1 : Isu Politik Wang Exco Kedah

Di Malaysia, terdapat banyak rasuah yang berlaku dan kebiasaanya dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik. Antara perkara yang kerap dilakukan adalah politik wang. Seperti yang sering dikesan dalam setiap kali menjelang pilihan raya adalah seseorang pemimpin politik biasanya melakukan rasuah untuk menang bagi kerusi yang ditandinginya. Contohnya, YB Datuk Zainol Mat Isa meletakkan jawatannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah sebagai hukuman penglibatannya dalam angkara politik wang semasa pemilihan bahagian Baling. Tindakan yang dilakukan adalah sangat memalukan kerana seorang pemimpin tidak harus menggunakan cara kotor untuk mendapat sesuatu atau menjaga kedudukannya. Melakukan perbuatan seperti ini adalah mencemarkan nama baik sesebuah parti malahan diri sendiri.

Kes 2 : Isu Pemberontakan di Selatan Thailand

Isu pengurusan politik juga boleh dilihat dari segi kejayaan individu atau sesuatu organisasi menguruskan amanah yang diberikan dengan seadil-adilnya. Sebagai contoh, konflik yang berterusan di selatan Thailand tidak berkesudahan walaupun sudah mencecah usia lima tahun. Ini kerana rasa tidak puas hati dikalangan penduduk di selatan Thailand terhadap pemerintahan kerajaan Thailand pimpinan Thaksin Sinawatra yang melibatkan kepercayaan dan perasaan tidak puas hati mereka tentang driskriminasi yang diamalkan. Banyak tembakan dan letupan berlaku hampir setiap hari di selatan Thailand. Dalam keganasan yang terbaru pada 19 mac 2008, seorang lelaki terbunuh dalam pertempuran dengan 70 anggota pasukan keselamatan di wilayah Narathiwat. Demi memastikan keadaan stabil dan kembali aman, kerajaan Thailand haruslah bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di selatan Thailand dan melaksanakan apa yang dijanjikan untuk mengembalikan kepercayaan penduduk terhadap kerajaan.

Berdasarkan kajian tentang 2 isu di atas, jelas menunjukkan bahawa berlakunya penyelewengan dalam pengurusan politik apabila seseorang individu atau sesebuah organisasi mendapat kuasa dalam bidang tersebut. Ini tidak seharusnya berlaku kerana kod etika bagi seorang ahli politik bukannya bersifat mengongkong atau menyalahgunakan kuasa kerana ia mengandungi disiplin dan tatacara yang perlu dipatuhi supaya mereka ini lebih bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan.

Seperti isu pemberontakan di selatan Thailand diatas, pemimpin seharusnya bijak membuat sesuatu keputusan dan membuat pertimbangan yang teliti, bukannya menggunakan kekerasan yang menyebabkab keadaan bertambah buruk. Mereka seharusnya tertib dalam membuat keputusan dengan memberikan keutamaan dan kepentingan kepada perkhidmatan, organisasi dan negara, bukannya mementingkan diri sendiri sahaja. Dalam isu politik wang di Kedah pula, seorang pemimpin seharusnya mengelakkan diri daripada menggunakan wang untuk mempengaruhi pemikiran orang lain. Selain telah melakukan rasuah, pemimpin itu juga telah melanggar kod-kod etika yang telah ditetapkan kerana telah menidakkan hak individu lain serta hak masyarakat dengan membeli undi para pengundi.


Etika Pengurusan Perniagaan

Pengurusan terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sebuah kumpulan yang terdiri daripada satu atau lebih orang atau entiti untuk tujuan menyeleraskan dan mengharmonikan kumpulan tersebut untuk mencapai sesuatu matlamat. Niaga atau perniagaan pula merupakan satu sistem pertukaran untuk mendapatkan sesuatu barang atau perkhidmatan. Maka, etika dalam pengurusan perniagaan boleh didefinisikan sebagai pengarahan atau pengawalan kumpulan yang melakukan sistem pertukaran untuk mendapatkan sesuatu barang atau perkhidmatan untuk tujuan menyelaraskan kumpulan ini untuk mencapai matlamat perniagaan mereka.

Kes 1 : Kerugian Pendapatan Syarikat Penerbangan MAS

Dalam masalah kerugian yang melibatkan syarikat penerbangan MAS, satu persoalan telah dikemukakan mengenai tindakan pihak pengurusan mengurangkan bilangan pekerjanya. Sebilangan berpendapat sepatutnya bilangan pengurusan atasan yang perlu dikurangkan. Masalah ini tidak akan selesai selagi pucuk kepimpinan yang ada dalam MAS dibiarkan terus memegang jawatan mereka. Sepatutunya pihak pertama yang mesti meletak jawatan dalam MAS ialah Pengarah Eksekutifnya, iaitu Munir Majid kerana setiap pertubuhan ataupun organisasi pimpinan beliau didapati sering bermasalah.

Selain itu, perlu ada satu pelan konkrit untuk MAS menguruskan syarikat tanpa banyak ‘free-loading’ oleh pihak kerajaan. Semua tiket percuma yang diberikan oleh wakil rakyat mesti dihapuskan. Wakil rakyat dan golongan istana (tidak termasuk Sultan dan Raja-raja serta Permaisuri pertama mereka) harus menggunakan tiket kelas biasa dan tidak memerlukan layanan istimewa di mana mesti ada petugas khas dalam penerbangan yang mereka gunakan. Bagi penerbangan yang tidak sampai dua jam, sepatutnya tidak perlu ada perkhidmatan ‘Business Class’ kerana ianya hanya membuang masa dan sumber.

Melalui sumber-sumber yang boleh dipercayai, dipercayai bahawa Khairy Jamaluddin sudah menjadi satu 'nama berpuaka' dalam dunia perniagaan di Malaysia. Bukan sahaja dalam dunia politik Melayu yang telah membunuh ekonomi orang Melayu, Khairy Jamaluddin kerap disebut-sebut sebagai salah seorang ‘orang atas’ dalam MAS. Dalam pemulihan MAS selepas gugurnya pimpinan Tajuddin Ramli dulu hampir semua pengurus kanan yang baru adalah mereka yang menjadi pilihan dan perlantikan oleh Khairy Jamaluddin. Kerana itulah muncul pembaziran yang banyak kerana ada restu orang atas.

Berdasarkan ulasan isu yang melanda MAS diatas, jelas sekali pihak pengurusan telah mengenepikan etika perniagaan yang menyebabkan berlakunya kemelesetan dalam pengurusan syarikat ini. Antaranya ialah pihak pengurusan sepatutnya bertanggung jawab sepenuhnya terhadap sagala hasil kerja, tindakan dan keputusan yang dibuat, sepereti yang termaktub dalam kod-kod etika. Selain itu, kod-kod etika juga menyatakan bahawa setiap individu atau sesuatu organisasi hendaklah mengelakkan diri daripada sikap pilih kasih dan juga membuat sesuatu keputusan akibat dipengaruhi oleh pihak yang tidak bertanggung jawab yang hanya memikirkan kepentingan sendiri sahaja.

Kes 2 : Kandungan Kentang Goreng McDonald

Pada Mei 2001, satu tuntutan mahkamah telah difailkan terhadap rangkaian restoran makanan segera McDonald yang terbesar di Seattle, Amerika Syarikat. McDonald didakwa selama lebih satu dekad, menipu pelanggan vegetariannya kerana telah menyediakan kentang goreng yang mengandungi ekstrak daging lembu. Tuntutan mahkamah itu telah diikuti dengan laporan media yang terperinci menerangkan bagaimana McDonald membuat promosi palsu kentang gorengnya yang mengatakan ianya adalah seratus-peratus vegetarian.

Walaupun pada mulanya McDonald tidak mahu memberi sebarang komen terhadap isu tersebut, tetapi McDonald telah mengeluarkan "maaf bersyarat", tetapi masih tidak mengaku menggunakan perisa ekstrak daging lembu pada kentang gorengnya. Kumpulan-kumpulan aktivis Hindu seperti Shiv Sena, Vishwa Hindu Parishad (VHP) dan Bajrang Dal telah melakukan demonstrasi di hadapan ibu pejabat McDonald di New Delhi memprotes tentang penggunaan perisa daging lembu bagi kentang goreng yang dijual oleh McDonald. Mereka juga telah menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri India, meminta supaya semua restoran McDonald di India ditutup.

Pada masa yang sama, lebih banyak kes-kes yang telah difailkan terhadap McDonald di California, Amerika Syarikat dan Kanada. Keadaan ini menyebabkan McDonald terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk menyelesaikan tuntutan mahkamah tersebut. Pihak pengurusan McDonald di India pula dengan pantas mengesahkan produk tersebut tidak mempunyai kandungan atau bahan yang tidak boleh dimakan oleh pelanggan vegetarian.

Ternyata pihak pengurusan McDonald telah melanggar etika pegurusan perniagaan yang telah digariskan. Antaranya ialah pihak pengurusan tidak memaklumkan perkara sebenar (kandungan sebenar kentang goreng) kepada masyarakat menyebabkan berlakunya rusuhan. Selain itu, pihak pengurusan juga didapati tidak bertanggungjawab terhadap tindakan mereka kerana enggan mengaku kesalahan mereka, tetapi hanya mengeluarkan kenyataan "maaf bersyarat".

2 comments:

Anonymous said...

terima kasih...
atas kesudian saudara menulis tentang isu2 ini..
akhirnya sy dapt menyiapkan assmgmnt... =)

Amer said...

Info anda amat berguna..
thanks...